Hartanah Baru Di U13, Setia Alam

(sumber: Utusan Meroyan)

 

SP Setia bina 500 apartmen

SHAH ALAM 14 Mac – Pemaju hartanah, SP Setia Bhd. merancang membina antara 300 hingga 500 buah apartmen kos sederhana di kawasan U13, Setia Alam di sini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tan Sri Liew Kee Sin berkata, apartmen yang bersaiz 700 hingga 800 kaki persegi itu akan dijual dengan harga serendah RM120,000 sebuah.

Beliau berkata, pihaknya telah membuat permohonan untuk membina apartmen kos rendah tersebut dan kini hanya menunggu ‘lampu hijau’ untuk menjalankannya.

‘‘Kita berharap dapat membantu menjayakan hasrat kerajaan yang mahu melihat generasi muda di negara ini berkemampuan untuk memiliki rumah idaman mereka,” kata beliau.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Pelancaran Aplikasi Telefon Pintar SP Setia yang disempurnakan oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Chor Chee Heung di sini, hari ini.

Hadir sama Pengerusi Yayasan SP Setia, Tan Sri Lee Lam Thye.

Mengulas lanjut pelancaran aplikasi telefon pintar SP Setia, Kee Sin berkata, ia membolehkan pengguna mendapatkan maklumat terkini tentang projek perumahan yang dibangunkan syarikat.

“Selain itu, aplikasi ini juga memberi kemudahan kepada komuniti sedia ada di Setia Alam supaya mereka boleh menyampaikan maklumat tentang aktiviti masyarakat di kawasan mereka,” katanya.

Dalam pada itu, Kee Sin menafikan dakwaan sesetengah pihak yang mendakwa syarikatnya dan beberapa pemaju lain hanya berminat untuk membina projek perumahan mewah.

Jelas beliau, SP Setia juga turut membina perumahan kos rendah dan sederhana seperti yang telah ditetapkan kerajaan.

“Kebiasaannya projek perumahan kos rendah yang kami bina laris dijual sebelum sempat ia diiklankan di media cetak dan elektronik,” katanya.


Jangan lupa follow blog aku! Klik butang Follow di sebelah tu~!!

Blogger Hartanah & Kewangan